Hajiji berucap untuk pembubaran DUN Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 secara rasmi dibubarkan hari ini, membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr) Musa Haji Aman pagi tadi bagi menasihati pembubaran DUN berkenaan memandangkan tempoh lima tahunnya hampir berakhir.
“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin, 6 Oktober 2025. Pembubaran ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, memberi kuasa kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam memilih kerajaan yang akan mentadbir negeri ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, petang ini.
Hajiji berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap amalan demokrasi dan proses perlembagaan.
“Sepanjang lima tahun yang lalu, kami telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk membawa perubahan dan kemajuan yang bermakna kepada negeri serta rakyat,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan telah memacu transformasi Sabah melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang holistik dan inklusif sejak mengambil alih pentadbiran pada September 2020.
Menurutnya, kerangka Hala Tuju SMJ yang berasaskan tiga teras utama — Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Pembangunan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau — telah menghasilkan pencapaian nyata di seluruh negeri.
Beliau berkata, pentadbirannya juga telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu-isu warisan yang telah lama tertangguh, khususnya dalam bekalan air, elektrik dan infrastruktur asas.
“Tindakan konkrit serta pelaksanaan projek besar sedang dijalankan bagi menyelesaikan cabaran-cabaran legasi ini yang telah membebankan rakyat sekian lama. Sebahagian inisiatif telah siap dilaksanakan, manakala yang lain sedang berjalan dengan baik menuju ke fasa penyelesaian,” katanya.
Sepanjang penggal semasa, ekonomi Sabah semakin kukuh, pelaburan baharu berjaya dibawa masuk untuk mewujudkan peluang pekerjaan, dan kesejahteraan sosial serta pendidikan komuniti di seluruh negeri turut dipertingkatkan.
“Pencapaian ini dapat direalisasikan hasil kepercayaan, sokongan dan kesepakatan rakyat terhadap visi bersama untuk membina Sabah yang lebih baik,” katanya.
Beliau menegaskan, meskipun banyak kemajuan telah dicapai, usaha membangunkan negeri masih belum selesai sepenuhnya.
“Cabaran baharu menuntut penyelesaian berani, dan kami bersedia untuk memimpin Sabah ke fasa seterusnya. Apabila penggal ini berakhir, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan kemajuan yang telah kita mulakan — membina Sabah yang lebih kuat, makmur dan bersatu untuk semua,” katanya.
Hajiji turut menyatakan harapan agar keputusan pilihan raya yang akan datang dapat memperkukuh suara rakyat, menjamin kestabilan serta keselamatan negeri, dan memastikan kemajuan yang berterusan untuk Sabah.
“Marilah kita bersama melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan tekad,” katanya.