Pemandangan udara lubang benam gergasi berhampiran bandar perlombongan Tierra Amarilla, Wilayah Copiapo di Gurun Atacama, Chile.
SANTIAGO: Penduduk bandar perlombongan Tierra Amarilla di gurun Chile berharap keputusan mahkamah akan meredakan kebimbangan mengenai lubang benam gergasi berhampiran kediaman mereka yang masih belum ditimbus sejak tiga tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mahkamah pada bulan ini memutuskan anak syarikat Lundin Mining milik Kanada, Minera Ojos del Salado bertanggungjawab ke atas kerosakan akibat aktiviti di lombong tembaga Alcaparrosa yang dipercayai mencetuskan kejadian lubang benam itu pada 2022.
Dalam keputusan itu, syarikat tersebut diarah melaksanakan langkah perlindungan terhadap bekalan air di kawasan berkenaan serta menimbus semula lubang berbentuk silinder berukuran 64 meter dalam dan 32 meter lebar di permukaan.
Keputusan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk Tierra Amarilla di wilayah Atacama yang bimbang lubang tersebut akan terus mengancam penempatan mereka.
“Sejak kejadian itu berlaku, kami hidup dalam ketakutan,” kata seorang penduduk, Rudy Alfaro, yang rumahnya hanya 800 meter dari lokasi terbabit.
Tambahnya, pusat kesihatan dan tadika juga terletak berhampiran kawasan itu.
Malah, gegaran gempa bumi yang berlaku baru-baru ini juga turut menyebabkan lubang tersebut menghamburkan debu tebal yang menambahkan lagi kebimbangan.
Mahkamah turut mengekalkan arahan penutupan operasi lombong kecil Alcaparrosa yang dikeluarkan pengawal selia alam sekitar Chile pada Januari lalu, selain mengesahkan berlakunya kerosakan tidak boleh dipulihkan terhadap akuifer yang mengalirkan air ke dalam lombong berkenaan sehingga melemahkan batuan di sekeliling.
“Kerosakan ini memberi kesan kepada kawasan yang sudah pun tertekan dari segi sumber air,” kata Pengarah Air Wilayah, Rodrigo Saez.
Lundin Mining dalam kenyataannya memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melaksanakan langkah pemulihan seperti diarahkan mahkamah.