Dr. Joachim (duduk) merakamkan kenangan gambar bersama dengan tetamu jemputan yang hadir dalam majlis itu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyifatkan pembinaan Pejabat Baharu Majlis Daerah Ranau sebagai langkah tepat bagi memastikan daerah ini terus berkembang seiring dengan keperluan semasa.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kewujudan pejabat dan lebih kondusif amat penting bagi menampung pertambahan keperluan masyarakat, selain memastikan urusan pentadbiran berjalan dengan lebih lancar serta teratur.
“Pembinaan bangunan Majlis Daerah ini bermula sejak tujuh tahun yang lalu dan kini siap sepenuhnya.
“Justeru, pembinaan pejabat baharu ini adalah langkah tepat bagi memastikan Ranau terus maju seiring dengan keperluan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baharu tersebut di sini, hari ini.

Dr. Joachim (empat dari kiri) bergambar bersama dengan tetamu jemputan yang hadir dalam majlis itu.
Dr. Joachim berkata, kemudahan itu akan memperkukuhkan keupayaan kakitangan Majlis Daerah Ranau dalam menguruskan hal ehwal masyarakat termasuk pembangunan infrastruktur, penyelenggaraan awam, pengurusan hasil dan pelaksanaan program komuniti.
Beliau berkata, pejabat baharu itu juga menjadi simbol aspirasi kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam di peringkat daerah.
“Saya yakin dengan adanya fasiliti ini, warga kerja Majlis Daerah Ranau dapat melaksanakan tanggungjawab dalam suasana yang lebih selesa, produktif dan profesional,” jelas ADUN Kundasang itu.
Katanya, pejabat tersebut bukan sahaja menjadi pusat menguruskan urusan rasmi, malah bakal berfungsi sebagai rujukan masyarakat dan simbol kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Dr. Joachim menegaskan, setiap pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Ranau perlu memanfaatkan fasiliti baharu itu sepenuhnya dengan meningkatkan tahap kecekapan, integriti serta memberi perkhidmatan yang mesra rakyat.

Dr. Joachim menurunkan tandatangan ke atas plak bangunan baharu Majlis Daerah Ranau sambil disaksikan oleh yang lain.
“Pejabat ini dibina untuk rakyat, dan rakyatlah yang seharusnya menerima manfaat terbesar daripadanya,” tegas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan sesebuah organisasi tidak bergantung kepada bangunan semata-mata, tetapi kepada semangat, integriti dan komitmen warga kerja yang melaksana tanggungjawab di dalamnya.
“Bangunan ini hanyalah permulaan, kejayaannya bergantung kepada bagaimana ia dimanfaatkan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan Ranau seiring dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri agar daerah itu tidak ketinggalan dari segi prasarana, kemudahan awam, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, Ranau bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, malah harus muncul sebagai sebuah daerah yang maju dan sejahtera dalam semua aspek kehidupan masyarakat.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) melawat ruang pejabat di bangunan baharu itu.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan pejabat baharu itu termasuk kontraktor, perunding, barisan kakitangan Majlis Daerah Ranau serta pihak lain yang menyumbang tenaga dan sokongan.
“Tanpa kerjasama semua pihak, projek ini tidak mungkin direalisasikan. Saya berharap semangat ini akan terus dikekalkan untuk menjayakan lebih banyak lagi projek pembangunan di Ranau pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; wakil Menteri Kewangan yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun; Datuk Faimin Kamin; wakil Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri memerangkap ADUN Paginatan, Juis Konsuling; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Majlis Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pegawai Eksekutif, Elmer Endra M.Sator; Ketua Daerah, OKK Muhasip Ruman dan Dominic Ghanie.
































