Anthony Loke Siew Fook
KOTA KINABALU: Sabah kini memasuki era baharu pengangkutan awam apabila Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) yang dijenamakan semula sebagai BAS.MY bakal beroperasi secara berfasa di Kota Kinabalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan inisiatif itu menandakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan rakyat Sabah menikmati sistem bas moden, efisien dan inklusif seperti di bandar utama lain di negara ini.
“Lawatan kerja Kementerian Pengangkutan hari ini adalah untuk meninjau perkembangan terkini usaha merealisasikan perkhidmatan BAS.MY di Kota Kinabalu, khususnya dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah menunjukkan kerjasama baik dalam memperkasakan pengangkutan awam di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan pelaksanaan BAS.MY di KK Sentral, di sini hari ini.
Menurut Loke, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17.6 juta setahun atau RM88 juta keseluruhan untuk tempoh lima tahun bagi menjayakan inisiatif itu di Kota Kinabalu.
Katanya, selepas beroperasi sepenuhnya, perkhidmatan BAS.MY akan meliputi lapan laluan utama dari KK Sentral dengan menggunakan 48 buah bas baharu.
“Bas ini dilengkapi pelbagai ciri moden termasuk sistem GPS untuk pemantauan masa nyata, pembayaran tanpa tunai atau e-ticket, CCTV bagi aspek keselamatan serta kemudahan mesra OKU dan warga emas,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi BAS.MY dijadualkan bermula seawal jam 5.30 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan kekerapan setiap 30 hingga 60 minit.
“Dengan ciri-ciri ini, perkhidmatan BAS.MY akan membuka satu era baharu pengangkutan awam yang lebih moden, efektif dan efisien menggantikan sistem lama yang konservatif,” katanya.
Selain aspek kemudahan, Loke menegaskan Kerajaan turut memberi perhatian kepada kos pengangkutan yang ditanggung rakyat.
“Kerajaan Madani amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam. Dengan Pas Perjalanan Tanpa Had Kad 30 Hari BAS.MY, pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di semua lapan laluan Kota Kinabalu,” katanya.
Menurut beliau, BAS.MY di Kota Kinabalu juga memperkenalkan skim konsesi yang membolehkan warga emas, OKU dan pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun menikmati tambang percuma.
“Kemudahan ini turut diperluas kepada mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi serta semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi, termasuk Institut Pendidikan MARA,” katanya.
Mereka yang layak hanya perlu membuat pendaftaran sekali dengan bayaran RM10 untuk menikmati tambang percuma sepanjang tempoh kelayakan.
Dalam pada itu, Loke berkata operator Jaguh Bayu yang dilantik akan dipantau rapi melalui sistem GPS dari segi ketersediaan perkhidmatan dan ketepatan masa.
“Sekiranya pengendali gagal menepati KPI yang ditetapkan, penalti akan dikenakan. Pemantauan berterusan ini penting untuk memastikan BAS.MY memberi keyakinan kepada rakyat untuk beralih kepada pengangkutan awam,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa projek BAS.MY di Sabah akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Saya pasti perkhidmatan BAS.MY ini akan dapat menjana peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Sabah kerana warga kerja bagi operasi akan dibuka kepada tenaga tempatan. Ini sekaligus akan merancakkan ekonomi negeri,” katanya.
Loke berkata, pelaksanaan BAS.MY di Kota Kinabalu menunjukkan Kerajaan serius dalam memastikan sistem pengangkutan awam memenuhi keperluan rakyat di semua peringkat.
“Saya menyeru agar masyarakat di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya mengambil kesempatan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan BAS.MY,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sejak awal hingga projek ini dapat dilaksanakan di Sabah.
“Adalah diharapkan agar inisiatif ini akan berjalan lancar seperti mana pelaksanaan di Semenanjung dan Sarawak sebelum ini,” katanya.
































