Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, Kota Kinabalu, kelmarin.
PETALING JAYA: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah perlu terus diperkukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu penting bagi memastikan kerajaan dapat membantu Sabah menyegerakan pelaksanaan pembangunan negeri itu.
Ia termasuk dalam aspek infrastruktur jalan raya, prasarana sekolah dan hospital demi manfaat rakyat.
“Hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat. Apabila ada kuasa, kita mesti lakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat.
“Impian saya mahu rakyat bersatu dan memastikan anak-anak di semua kawasan di Sabah merasakan mereka ada peluang dan harapan di dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di Inanam, Kota Kinabalu, kelmarin.
Sementara itu, Anwar mengulangi pendiriannya tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku rasuah tanpa mengira latar belakang individu yang dikaitkan.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa mengambil tindakan tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk dirinya.
“Kalau ada bukti rasuah SPRM mesti ambil tindakan, kamu Tan Sri kah, kamu menterikah, di Semenanjungkah atau di Sabah, kamu ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), kalau ada kes, SPRM masuk (siasat), kalau salah hukum penjara.
“Kalau ada (campur tangan) itu namanya diktator,” katanya.
































