Hajiji bersama beberapa peserta konvensyen.
PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan pada bulan depan.
Ia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal dari tarikh tamat penggal semasa pada November ini.
Beliau berkata, pembubaran DUN perlu dilakukan sebelum 11 November kerana penggal berakhir secara automatik pada tarikh berkenaan.
“Kita tiada pilihan sebab tempoh Dewan terbubar sendiri bulan November. Jadi, mesti kita adakan sebelum itu,” katanya ketika ditemui selepas penutupan Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini semalam.
Beliau turut menegaskan PRN Sabah Ke-17 penting untuk memastikan pembangunan negeri berjalan lancar di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta mengekalkan kestabilan politik.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru rakyat khususnya 970,000 pengundi muda agar membuat pilihan bijak pada PRN Sabah Ke-17 yang disifatkan penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di bawah pentadbiran GRS.
Hajiji berkata, masa depan Sabah terletak di tangan generasi muda dan mereka dinasihatkan agar tidak mensia-siakan peluang untuk membuat pilihan bijak pada pilihan raya akan datang.
“Buatlah pilihan terbaik, yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
“PRN kali ini adalah peluang keemasan untuk memilih kerajaan yang kuat, terutama kerajaan didominasi parti tempatan. Jangan lagi kita ulang kesilapan lalu sehingga pembangunan negeri terencat,” katanya.


































