KENINGAU: Suasana di Bandukan Eko-Park bertambah meriah apabila Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak bersempena sambutan Hari Malaysia berjaya menarik penyertaan ramai anak-anak bersama ibu bapa, semalam.
Acara yang dianjurkan oleh Bandukan Eko-Park dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu diadakan di bawah siri Malaysia Day Activity with Community Based Tourism (CoBT).
Penganjuran pertandingan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan bakat serta kreativiti mereka, malah turut menyerikan suasana sambutan Hari Malaysia dengan penuh keceriaan.
Selain itu, program berkenaan turut menyerlahkan keindahan dan potensi Bandukan Eko-Park sebagai destinasi riadah berasaskan alam semula jadi yang sesuai dikunjungi masyarakat tempatan mahupun pelancong luar daerah.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert.
Turut hadir, Pengurus Bandukan Eko-Park, Johany Anil; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Mohd. Zaki Zakaria; serta wakil komuniti setempat yang sentiasa menyokong penganjuran program berteraskan pelancongan komuniti.
Menurut penganjur, pertandingan ini juga menjadi penutup tirai siri Malaysia Day with CoBT 2025.
Bagaimanapun, pihak persatuan menegaskan komitmen mereka untuk terus menganjurkan pelbagai program pembangunan pelancongan pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan di daerah Keningau.
































