Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan usaha Kerajaan Negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat adalah hasil tanggungjawab memegang mandat, bukannya kerana meniru atau menciplak idea pihak lain.
Menurutnya, tuduhan bahawa Kerajaan memberi bantuan demi meraih populariti atau semata-mata meniru dasar pihak terdahulu adalah tidak berasas dan hanya mencerminkan sikap politik lapuk yang suka mencari kelemahan tanpa menawarkan penyelesaian.
“Siapa cakap bila jadi kerajaan, kita bagi bantuan atau tolong rakyat sebab tiru kerajaan lepas, tiru idea orang atau curi dasar orang.
“Sejak bila pula Kerajaan curi idea orang bila buat kerja dengan memberikan bantuan dan menyelesaikan masalah rakyat?
“Kalau tidak ada modal untuk menghentam, mengecam dan menghina, lebih baik diam saja daripada buat dosa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu menegaskan bahawa usaha murni Kerajaan Negeri adalah berterusan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, dan bukan sekadar ‘gula-gula’ politik menjelang pilihan raya.
“Jangan cakap Kerajaan Negeri bagi bantuan untuk rakyat sebab mahu pamer imej baik kerana hampir musim pilihan raya.
“Jangan sembarangan menuduh semua usaha murni Kerajaan Negeri sebagai ‘gula-gula’ politik untuk memancing undi,” tegasnya.
Fairuz berkata, lebih baik semua pihak berganding bahu membantu rakyat yang sedang berdepan pelbagai musibah berbanding menabur fitnah untuk publisiti murahan.
“Daripada hari-hari buat fitnah, bagus sama-sama kita semua kerja tolong rakyat, apatah lagi musim sekarang, kita dilanda musibah, rakyat banyak susah.
“Ini fokus kita, bantu ringankan musibah rakyat, bukan kejar publisiti murahan,” katanya.
Beliau menegaskan, selagi Kerajaan memegang mandat, tanggungjawab utama adalah untuk bekerja demi rakyat, mendengar keluhan mereka serta melihat sendiri cabaran yang dihadapi di lapangan.
“Mereka berduka, bersedih, berikhtiar tabah menghadapi musibah. Sungguh biadap jika ada pihak yang menjadikan musibah ini sebagai faktor untuk menimbulkan isu, memburukkan dan mengeji segala usaha Kerajaan Negeri,” katanya.
Fairuz turut menekankan bahawa fokus Kerajaan Negeri bukan sahaja kepada kebajikan semasa, tetapi juga pembangunan jangka panjang, khususnya dalam melahirkan modal insan berkualiti melalui pendidikan.
Katanya, pelbagai inisiatif pendidikan telah diwujudkan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah, SUBFLY, BUDI, BAIK dan BISTARI.
“Semua ini adalah fokus untuk memastikan modal insan kita, anak-anak Sabah, dapat disokong dan dibantu dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi.
“Kerajaan Negeri peka dan mahu anak-anak Sabah mendapat ruang dan sokongan terbaik dalam aspek pendidikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar lebih berhemah menggunakan media sosial dan tidak menjadikannya medan untuk bermusuhan atau menyebar kebencian.
“Kita guna media sosial secara bijak – untuk tambah input, untuk hiburan, untuk kerja – tapi elakkan daripada guna media sosial untuk cari musuh.
“Malangnya, dalam persekitaran media sosial yang canggih sekarang, semua orang mahu jadi pakar serba tahu, tetapi masih dangkal dan penuh emosi. Ini sungguh memalukan kerana kita ada adab dan nilai murni yang harus dipegang,” katanya.
































