SUNGAI PETANI: Seorang lelaki parah selepas dipercayai ditetak individu tidak dikenali menggunakan senjata tajam di kawasan Flat Paya Nahu, di sini petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 3.55 petang.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berusia lingkungan 30-an pada mulanya pergi ke rumah abangnya di flat berkenaan sekitar pukul 3 petang.
“Namun dimaklumkan oleh kakak ipar bahawa abangnya tiada di rumah dan kemudian menunggu di bawah flat sebelum mendakwa secara tiba-tiba didatangi individu tidak dikenali yang terus menetaknya,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hanyan, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk sejak pagi sebelum kejadian.
“Mangsa cedera di bahagian tangan serta kaki dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya.
Hanyan berkata, polis juga telah menahan dua beranak berusia 20-an dan 50-an yang kini direman lima hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur gengsterisme atau penglibatan dadah dalam kes itu namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
































