Aedy Fadly Ramli
PETALING JAYA: Seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif sama ada kerana tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan memandu dengan lesen tidak aktif adalah kesalahan kerana boleh menimbulkan pelbagai risiko kepada pemandu itu sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Setiap individu yang memandu kenderaan di jalan raya wajib memiliki lesen memandu sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Sekiranya pemegang lesen berkenaan masih berhasrat untuk memandu, mereka perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana institut memandu berdekatan bagi mendapatkan semula atau mengaktifkan lesen masing-masing mengikut ketetapan Akta 333,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aedy Fadly menggesa semua pemegang CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun segera memperbaharui lesen masing-masing melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau di mana-mana kaunter JPJ seluruh negara.
“Tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan mereka diwajibkan menduduki semula ujian KPP02 dan KPP03,” katanya.
































