KENINGAU: Bengkel Membatik sempena sambutan Hari Malaysia telah diadakan di The Duo di bawah program Malaysia Day Activity with Community Based Tourism (CoBT).
Program anjuran The Duo dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) ini memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman membatik bersama tenaga pengajar berpengalaman dari Pusat Kraftangan Sabah, Keningau.
Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert. Turut hadir ialah Pengurus The Duo, Kennedy John; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Mohd. Zaki Zakaria; barisan tenaga pengajar Pusat Kraftangan Sabah, serta komuniti sekitar Mukim Apin-Apin selaku peserta.
Bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan seni warisan batik, malah mengeratkan hubungan komuniti melalui penghayatan seni dan budaya tempatan. Ia juga berperanan merangsang pertumbuhan produk pelancongan berasaskan komuniti dan mempromosikan keunikan produk Keningau ke peringkat lebih luas.
































