Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangka negara akan memasuki fasa peralihan monsun pada Oktober ini sebelum Monsun Timur Laut (MTL) bermula November hingga Mac 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa peralihan, hujan lebat serta ribut petir dijangka lebih kerap berlaku pada sebelah petang dan awal malam, khususnya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat serta tengah Sarawak dan barat Sabah.
“Dalam tempoh ini, kejadian banjir kilat, kepala air, hujan batu dan puting beliung berpotensi berlaku sekiranya keadaan atmosfera kondusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, semasa musim MTL pula, hujan monsun yang sinonim dengan banjir besar lebih tertumpu di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Mengulas mengenai 6,103 lokasi bencana yang dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hisham berkata, faktor cuaca memainkan peranan besar.
“Banjir, ribut, tanah runtuh dan kepala air sering berlaku ketika hujan lebat, terutama di kawasan rendah dan tebing sungai. Keadaan boleh menjadi lebih teruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar,” jelasnya.
Menurut beliau, MET Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca termasuk di Sabah dan akan mengeluarkan amaran sekiranya situasi membimbangkan.
































