LONDON: Perkhidmatan risikan luar Britain, MI6, melancarkan sebuah portal baharu dikenali sebagai Silent Courier yang menggunakan laman sesawang gelap bagi menarik individu, khususnya rakyat Russia, untuk menyalurkan maklumat sulit kepada agensi berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, portal itu menggunakan pelayar internet Tor yang membolehkan capaian tanpa nama ke platform pesanan selamat MI6 dan panduan penggunaan Silent Courier disiarkan menerusi saluran YouTube baharu MI6 pada Jumaat.
Setiausaha Luar, Yvette Cooper berkata, Britain kini memperkukuh usaha dengan teknologi terkini supaya MI6 dapat merekrut ejen baharu di Russia dan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, pengguna diminta mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan portal itu.
Menurut kenyataan Pejabat Luar Britain, MI6 menasihatkan individu yang mahu mengakses portal supaya menggunakan VPN dan peranti yang tidak dikaitkan dengan diri mereka, bagi mengurangkan risiko pemantauan di negara tertentu.
Pelancaran itu menyusul selepas Ketua MI6 yang akan bersara, Sir Richard Moore, dalam ucapan jarang dibuat di Prague pada Julai 2023 menyeru rakyat Russia supaya menjadi ejen risikan untuk Britain.
Beliau akan menggunakan ucapan terakhirnya di Istanbul, lokasi beliau pernah berkhidmat sebagai duta, untuk merasmikan perkhidmatan baharu itu dengan mesej ‘pintu maya kami terbuka untuk anda’.
Difahamkan, teknologi sebenar di sebalik Silent Courier tidak dijelaskan secara terperinci, namun laman rasmi MI6, sis.gov.uk, turut menggalakkan bakal pemberi maklumat menggunakan Tor dan VPN untuk menghubungi agensi itu.
Portal tersebut turut menasihatkan pengguna mencipta alamat e-mel baharu tanpa menggunakan nama, nombor telefon atau data yang berkaitan dengan identiti sebenar
































