Skuad Harimau Malaya yang menentang Palestine dalam aksi Tier 1 di Stadium Sultran Ibrahim, baru-baru ini.
PETALING JAYA: Berdasarkan prestasi semasa skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan terdahulu tidak mustahil Malaysia akan terus mendaki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan kemaskini badan induk bola sepak dunia itu semalam, skuad Harimau Malaya naik dua anak tangga iaitu daripada kedudukan ke-125 kepada 123 dunia selepas mengumpul 1,148.23 mata keseluruhan.
Kedudukan itu berubah berikutan dua kemenangan dilakar skuad kendalian Peter Cklamovski dalam aksi persahabatan Tier 1 dengan menewaskan Singapura 2-1 pada 4 September lalu serta menjinakkan Palestin 1-0 empat hari kemudian.
Malaysia kini semakin hampir untuk menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia dan berada di laluan tepat untuk memburu sasaran jangka panjang iaitu berada di kelompok 100 dunia.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim optimis ranking pasukan negara akan terus meningkat, terutama menerusi perancangan teliti daripada pengurusan Harimau Malaya.
Jelasnya, jika keputusan menang terus konsisten terutama apabila menentang pasukan di ranking lebih baik daripada pasukan kebangsaan maka tidak mustahil misi berada di kedudukan bawah 100 mampu tercapai.
“Saya percaya dalam keadaan sekarang ini, ranking kita akan terus meningkat berbanding sebelum ini. Sekarang saya nampak perancangan daripada pihak pengurusan, termasuk jurulatih lebih teliti dan teratur.
“Bagi saya, keadaan itu meningkatkan lagi potensi untuk meningkatkan ranking dengan memilih siapa yang kita nak lawan serta bagaimana cara lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Malaysia kini menghuni kedudukan keempat terbaik dalam kalangan pasukan rantau Asia Tenggara di belakang Thailand (101), Vietnam (114) dan juga Indonesia (119).
Kemaskini ranking FIFA yang seterusnya dijadualkan pada 23 Oktober depan, dengan Malaysia mempunyai dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027 iaitu berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober ini.
































