PETALING JAYA: Sindiket ah long dikesan semakin licik dengan memanfaatkan teknologi moden termasuk media sosial bagi menjerat mangsa pinjaman tidak berlesen.
Di sebalik janji manis pinjaman mudah tanpa prosedur rumit, hakikatnya ribuan peminjam terjerat dalam cengkaman hutang tidak berkesudahan dengan kadar faedah 30 sehingga 200 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 2,887 kes direkodkan dalam tempoh tiga tahun membabitkan nilai kerugian RM15.45 juta.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,186 kes dengan nilai kerugian RM5.9 juta direkodkan pada 2023 diikuti 2024 (1,069 kes, RM 5.2 juta kerugian) dan Januari sehingga Jun lalu (632 kes, RM4.2 juta kerugian).
“Sindiket ah long dilihat tidak lagi beroperasi secara tradisional sebaliknya berevolusi mengikut arus teknologi dengan menggunakan platform popular seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan WeChat untuk mencari mangsa.
“Mereka juga dikesan menggunakan akaun media sosial, syarikat palsu bagi mengelak kegiatan mereka ini dikesan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata Rusdi, pihak polis berdepan kesukaran mengesan sindiket ini apabila mereka menggunakan nombor telefon prabayar selain didaftarkan atas nama individu lain sekali gus menyukarkan tindakan diambil.
“Nombor telefon mereka untuk hubungi mangsa-mangsa juga kerap bertukar selain menggunakan pihak ketiga untuk mengganggu serta membuat ugutan kepada mangsa.
“Sekiranya individu ini ditangkap sekalipun, mereka mempunyai maklumat yang minimum atau langsung tiada maklumat tentang sindiket ah long yang mengupah mereka,” jelasnya.
Rusdi berkata, modus operandi sindiket ah long ini adalah dengan menawarkan iklan terlebih dahulu sebelum peminjam yang berminat akan memasukkan butiran peribadinya ke dalam website yang disediakan.
Jelasnya, peminjam seterusnya akan dihubungi oleh wakil syarikat ah long sebelum diarahkan mengambil gambar serta video dengan memegang kad pengenalan.
“Peminjam juga hanya menerima 50 hingga 70 peratus daripada pinjaman yang dipersetujui dan bakinya ditolak kononnya untuk caj duti stem, bayaran peguam, faedah pertama dan sebagainya.
“Sekiranya peminjam tidak setuju atau tidak berpuas hati dengan urusan tersebut mereka tetap dipaksa membayar wang yang dipersetujui pada awalnya walaupun wang itu pulangkan semula,” ujarnya.
Rusdi memberitahu, terdapat beberapa bentuk bayaran balik ditawarkan samada harian, mingguan atau mengikut bilangan hari tertentu (contohnya setiap 10 hari sekali) selain bulanan.
“Sindiket ini boleh bertindak agresif dengan membuat gangguan sekiranya peminjam gagal dalam pembayaran balik,”katanya.
Dalam pada itu, Rusdi memberitahu, pihak polis sama sekali tidak mendiamkan diri apabila sebanyak 2,867 individu terdiri ahli sindiket ah long ditahan.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,286 tangkapan dilakukan pada 2023 diikuti 2024 (1,129 tangkapan) dan Januari sehingga Jun lalu (452 tangkapan),” ujarnya.
Rusdi turut mengingatkan kepada masyarakat agar tidak terpedaya dengan janji manis ah long agar tidak menjadi mangsa mereka.
“Jangan jadi peminjam ah long. Apa jua masalah, desakan hidup dan sebagainya, carilah jalan yang selamat seperti meminjam dengan dengan institusi kewangan yang sah,” katanya.
































