Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir semalam, terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan disebabkan kebocoran maklumat peribadi saksi kanak-kanak di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu didedahkan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Ram memberitahu mahkamah bahawa butiran peribadi anak guamnya seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah telah didedahkan di media sosial serta tersebar di aplikasi WhatsApp ialah sebahagian penyataan saksi remaja yang turut dinamakan sebagai Pelajar A.
“Saya telah berjumpa dengan Pelajar A dan ibunya dan disebabkan oleh apa yang berlaku hari ini (semalam), saya tidak fikir dia bersedia untuk memberikan keterangan hari ini (semalam). Dia takut. Saya akan membuat laporan polis. Nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah (dibocorkan).
“Di TikTok juga ada. Seolah-olah mereka tahu yang saksi kanak-kanak akan beri keterangan hari ini (semalam),” kata peguam itu dalam prosiding memasuki hari ke-10, semalam.
Susulan itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan meluahkan rasa kecewa dengan kebocoran maklumat itu dan menangguhkan prosiding bagi membolehkan Ram membuat laporan polis.
“Saya sangat kecewa. Disebabkan tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab, perjalanan inkues ini terganggu.
“Ini juga satu peringatan kepada orang awam. Apabila berlaku kebocoran sebegini, ia memang akan mengganggu perjalanan inkues. Inilah (penangguhan) yang berlaku pada hari ini (semalam). Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu, inkues terganggu.
“Saya sangat kecewa tetapi apa yang saya boleh buat. Disebabkan itu,saya telah meminta Datuk Ram untuk membuat laporan polis secepat mungkin,” katanya.
Selain Pelajar A, turut tersebar nama penuh dan nombor kad pengenalan beberapa penghuni Asrama Qurratu ‘Ayun yang menempatkan dua blok termasuk tempat Zara Qairina menetap dan merupakan lokasi akhir remaja terbabit ditemukan.
Pada minggu hadapan, prosiding inkues dijalankan secara tertutup memandangkan membabitkan 35 saksi-kanak-kanak dengan hanya Koroner, jurubahasa mahkamah dan pihak-pihak berkepentingan sahaja dibenarkan masuk.
Sementara itu, Ketua Warden, Azhari Abd. Sagap, 31, berkata, seorang daripada remaja yang didakwa membuli Zara Qairina tidak menunjukkan sebarang trauma apabila pulang ke asrama untuk memberi keterangan.
Katanya, ia berdasarkan gambar yang diambil oleh pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jahila pada 22 Julai lalu yang juga saksi keenam inkues.
Peguam, Joan Goh: Pelajar A keluar dari sekolah kerana dia rasa trauma. Adakah awak tahu?
Azhari: Tidak tahu dan dia (pelajar A) pun tidak tunjukkan dia trauma. Ada gambar yang diambil pengawal keselamatan, gambar A dan seorang lagi pelajar datang ke sekolah untuk beri keterangan sebab sejak 18 Julai, Pelajar A tidak balik ke sekolah. Gambar itu tak menunjukkan Pelajar A dan pelajar seorang lagi trauma.
Goh: Tengok gambar saja dah cukup untuk cakap Pelajar A tidak trauma?
Azhari: Dia siap ‘peace’ lagi dalam gambar yang pengawal ambil.
Goh: Jadi tengok gambar boleh tahu?
Azhari: (tidak memberikan jawapan)
Goh: Siapa yang ambil gambar itu?
Azhari: Aunty Linah.
Goh merupakan peguam yang mewakili Pelajar A yang merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Inkues bersambung minggu hadapan dan diadakan secara tertutup.
































