Penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat ABC di New York bagi membantah penggantungan Jimmy Kimmel.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencadangkan rangkaian televisyen yang melaporkan berita negatif mengenai dirinya perlu dikenakan tindakan oleh kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan itu dibuat selepas beliau menyokong tindakan rangkaian berita AS, ABC, menggantung hos rancangan lewat malam, Jimmy Kimmel.
Beliau berkata, 97 peratus rangkaian televisyen utama AS menentangnya, walaupun tidak memberikan bukti untuk menyokong angka itu.
“Mereka hanya beri liputan buruk mengenai saya. Maksudnya, mereka mendapat lesen, dan saya rasa mungkin lesen mereka patut ditarik balik,” katanya kepada wartawan dalam penerbangan pulang ke AS dari lawatan negaranya ke United Kingdom (UK), kelmarin.
Namun, dakwaan presiden berhubung rangkaian televisyen AS perlu dilesenkan oleh kerajaan untuk beroperasi adalah tidak tepat.
Walaupun stesen televisyen tempatan memerlukan lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), di laman webnya menyatakan ia ‘tidak melesenkan rangkaian televisyen atau radio seperti CBS, NBC, ABC atau Fox.
Trump menyokong keputusan ABC menggantung rancangan Kimmel, dengan menyifatkan pelawak itu bukan seorang yang berbakat dan mempunyai penilaian sangat buruk.
“Jimmy Kimmel dipecat kerana dia mempunyai penarafan yang buruk lebih daripada segala-galanya, dan dia mengatakan sesuatu yang mengerikan mengenai seorang lelaki terhormat bernama Charlie Kirk,” kata Trump.
Penggantungan tanpa had rancangan Kimmel mencetuskan bantahan, dengan kira-kira 200 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Walt Disney Studios, Los Angeles, bagi membantah keputusan syarikat induk ABC itu.
Desakan boikot terhadap Disney dan syarikat media besar lain juga semakin memuncak.
































