Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Semua masjid dan surau di seluruh Sabah diminta mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bermula selepas solat Maghrib malam ini bagi mendoakan keselamatan serta kesejahteraan negeri dan rakyat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani untuk menyelaras pelaksanaan majlis itu.
Katanya, tujuan inisiatif itu adalah untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT agar negeri ini dijauhkan daripada malapetaka serta mara bahaya, termasuk bencana banjir dan bencana alam lain.
“Berdoalah kita agar negara kita, khasnya Negeri Sabah, sentiasa berada di bawah naungan keselamatan dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


































