KENINGAU: Program Penanaman Pokok Sempena Hari Malaysia berjaya dianjurkan di Tiunung Riverside Camp di sini hari ini, sebagai salah satu inisiatif memeriahkan sambutan sekaligus memperkasa sektor pelancongan komuniti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA), Rafie Robert yang menekankan kepentingan usaha penghijauan dalam mendukung kelestarian kawasan pelancongan tempatan.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja menyemarakkan suasana sambutan Hari Malaysia, tetapi turut membawa mesej kelestarian melalui kempen penghijauan alam sekitar.
“Matlamat kita ialah menjadikan kawasan pelancongan lebih lestari, indah dan mesra alam, sekali gus memberi nilai tambah kepada produk pelancongan komuniti di Keningau,” katanya.
Penganjur berharap inisiatif seumpama itu dapat memupuk kesedaran masyarakat, semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap alam sekitar, di samping mengangkat imej Keningau sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
































