Gegaran kecil yang berlaku di daerah Segamat dipercayai berpunca daripada kewujudan sesar baharu.
PETALING JAYA: Gegaran kecil yang berlaku di daerah Segamat, Johor sejak kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada kewujudan sesar baharu yang belum dikenal pasti.
Menurut Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zakaria Endut berkata, keadaan itu dijangka hanya bersifat sementara kerana fenomena tersebut lazimnya akan berhenti selepas beberapa kali gegaran susulan.
Katanya, setiap kali berlaku gegaran utama, pergerakan sesar akan mengambil masa untuk kembali stabil sebelum tekanan pada batuan dilepaskan sepenuhnya.
“Selepas gegaran utama, lazimnya akan berlaku gegaran susulan atau aftershockyang boleh berlanjutan beberapa hari.
Fenomena ini dianggap normal kerana sesar memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pergerakan yang berlaku.
“Bagaimanapun, berdasarkan rekod di Malaysia, gegaran yang berlaku biasanya tidak berpanjangan dan hanya melibatkan gegaran kecil selepas gegaran utama.
“Hal ini memberi kemungkinan wujudnya sesar lain yang belum dikenal pasti di kawasan berkenaan dan berpotensi menjadi punca berlakunya gegaran kecil. Kajian lanjut perlu dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi untuk kali keenam dalam tempoh seminggu.
Zakaria berkata, risiko gegaran tidak hanya tertumpu di Segamat sebaliknya boleh berlaku di kawasan lain di negara ini yang pernah mencatatkan aktiviti seismik.
Katanya, antara kawasan yang perlu diberi perhatian termasuk Bukit Tinggi yang dikaitkan dengan pergerakan Sesar Bukit Tinggi selain beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung.
“Pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi mengenal pasti corak pergerakan sesar terutama di kawasan yang pernah merekodkan gegaran.
“Selain itu, gegaran di Malaysia juga kadangkala berpunca daripada kesan gempa kuat di Sumatera yang boleh dirasai di Semenanjung terutama di kawasan pantai barat apabila magnitudnya melebihi skala tujuh,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai gempa bumi di Johor, Pensyarah Kanan Geologi Struktur dan Tektonik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norasiah Sulaiman berkata, fenomena berlaku akibat pengaktifan semula sesar lama berikutan tekanan pergerakan plat tektonik dari kawasan aktif seperti Sumatera dan Filipina.
“Gempa di Johor memang luar biasa namun bukan sesuatu yang mustahil. Fenomena itu dikategorikan sebagai gempa bumi intraplate iaitu berlaku di dalam plat dan jauh daripada sempadan plat aktif,” katanya.
Norasiah berkata, siri gegaran di Segamat baru-baru ini berkemungkinan ada kaitan dengan Zon Sesar Mersing yang merupakan salah satu sistem sesar lama di selatan Semenanjung.
Katanya, kerak bumi di Semenanjung yang bersifat keras menyebabkan tenaga gegaran mudah tersebar sehingga dirasai di kawasan sekitar.


































