Xi Jinping
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping mengkritik tingkah laku ‘membuli’ dalam era dunia baharu ketika beliau mengadakan sidang kemuncak bersama para pemimpin serantau.
Menurut Utusan Malaysia, dalam ucapannya di bandar utara Tianjin, Jinping menyeru para pemimpin termasuk Presiden Russia Vladimir Putin dan Perdana Menteri India Narendra Modi supaya berpegang kepada keadilan dan kesaksamaan, sekali gus menolak mentaliti Perang Dingin, pertembungan blok, dan tingkah laku membuli.
Sidang kemuncak dua hari itu diadakan di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), yang dianggotai oleh China, India, Russia, Pakistan, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Belarus dengan 16 lagi negara bertindak sebagai pemerhati atau rakan dialog.
China dan Russia ketika ii mempromosikan SCO sebagai alternatif kepada pakatan ketenteraan NATO.
“Situasi antarabangsa ketika ini semakin rumit dan saling berkait. Cabaran keselamatan dan pembangunan yang dihadapi oleh negara anggota kini semakin sukar.
“Melihat ke belakang, meskipun dalam zaman penuh kekacauan, kita telah mencapai kejayaan dengan mengamalkan semangat Shanghai.
“Melangkah ke hadapan, dalam dunia yang bergolak dan sedang berubah, kita mesti terus menjunjung semangat Shanghai, berpijak di bumi nyata, mara ke hadapan, dan memperkukuh lagi peranan organisasi ini,” katanya merujuk kepada prinsip asas pertubuhan itu.
Dalam pada itu, China dijangka mempamerkan pelbagai jenis senjata baharu dalam perarakan tentera besar-besaran pada hari Rabu, dalam satu demonstrasi kekuatan yang dilihat sebagai cabaran terhadap dominasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Pakar ketenteraan menganalisis foto dan rakaman dalam media sosial daripada beberapa sesi latihan baru-baru ini, yang memperlihatkan peluru berpandu antikapal, dron bawah laut berteknologi tinggi, sistem antipeluru berpandu, dan pelbagai teknologi lain yang dijangka melintasi Dataran Tiananmen.
Walaupun pihak berkuasa merahsiakan senarai lengkap kelengkapan ketenteraan yang akan dipertontonkan di hadapan Jinping, Putin dan pemimpin dunia lain, ramai pemerhati serta peminat ketenteraan mengesan sistem baharu yang signifikan, termasuk senjata laser gergasi.
Pihak tentera memaklumkan semua peralatan yang dipamerkan adalah buatan dalam negara dan digunakan secara aktif.


































