KOTA BELUD: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.487 bilion kepada 317,260 usahawan di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM178.143 juta disalurkan kepada 30,288 Sahabat AIM di Wilayah Sabah.
“Bagi kawasan Kota Belud, AIM menyalurkan pembiayaan sebanyak RM15.570 juta kepada 1,935 usahawan, manakala di Kadamaian sahaja, sebanyak RM3.4 juta disalurkan kepada 1,312 usahawan.
“Saya berharap pembiayaan ini dapat diteruskan untuk menyokong usahawan-usahawan informal dan usahawan-usahawan kecil di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kota Belud dan Pembukaan Rasmi Tamu Desa Ponginapuan, Kampung Rengalau, di sini, hari ini.
Ewon berkata, Sabah mencatatkan bilangan Sahabat AIM tertinggi iaitu seramai 52,680 orang, termasuk 3,570 Sahabat AIM Cawangan Kota Belud.
Menurutnya, Mini Karnival itu amat penting sebagai platform mengeratkan silaturahim sesama Sahabat AIM selain menggalakkan usahawan kecil membudayakan pembayaran secara digital.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para Sahabat AIM yang berjaya merancakkan ekonomi mikro di daerah ini, serta mengiktiraf usaha AIM membantu wanita luar bandar keluar dari kemiskinan dan membina kejayaan sebagai usahawan kecil.
Pada majlis itu, selain perasmian Tamu Desa, turut diadakan penyampaian cek cura pembiayaan AIM berjumlah RM15.57 juta kepada Cawangan Kota Belud serta penyampaian beberapa anugerah termasuk Anugerah Sahabat Setia, Sahabat Usahawan Berjaya, Anugerah CMCCS Terbaik, Anugerah Pusat Tertinggi OE dan Anugerah Sahabat Usahawan Muda dan Berjaya.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan Jualan Madani anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi barangan keperluan harian, pertandingan busana tradisional terbaik, dan pertandingan masakan tradisional Hinava.
Sementara itu, Sahabat Usahawan AIM boleh menggunakan premis Tamu Desa sebagai lokasi mengadakan mesyuarat mingguan, kata Ewon.
Beliau berkata, premis Tamu Desa yang dilaksanakan kementeriannya bukan sahaja menjadi pusat niaga untuk usahawan kecil, tetap boleh dijadikan pusat pertemuan komuniti setempat.
“Setakat ini, bagi kawasan Kota Belud sahaja, sebanyak 22 Tamu Desa siap pada tahun lalu termasuk di kawasan DUN Kadamaian, Usukan dan Tampasuk.
“Tamu Desa yang dibina baharu dan dinaik taraf itu disediakan untuk memberi ruang yang lebih selesa dan bersih kepada usahawan kecil termasuk Sahabat AIM,” katanya.
Menurut Ewon, tahun ini sebanyak lapan lagi Tamu Desa akan dibina di kawasan Kota Belud, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan DUN Tempasuk, hasil permohonan wakil rakyat serta usahawan di tamu komuniti sedia ada.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AIM atas inisiatif mereka dalam memperkasa usahawan kecil dengan mewujudkan pasar tamu yang memberi peluang kepada komuniti menjana pendapatan.
“Menerusi kelab usahawan, AIM berjaya membuka pasar tamu sendiri di Ranau yang beroperasi setiap Ahad.
“Di Kota Belud pula, pasar tamu yang dibuka setiap Jumaat juga menyaksikan majoriti peniaga terdiri daripada Sahabat Usahawan AIM,” katanya.
Ewon berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan usaha sama dengan AIM dalam memajukan usahawan luar bandar, sambil memberi jaminan akan meneruskan pembangunan infrastruktur seperti Tamu Desa bagi memperkukuh ekonomi tempatan.
Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz dan pegawai pengurusan AIM Wilayah Sabah dan wakil-wakil agensi KUSKOP.


































