Pasukan bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit di dalam sebuah pacuan empat roda yang melanggar sebatang pokok dekat KM 27.7 Lebuhraya SKVE, Saujana Putra, Telok Panglima Garang, di Kuala Langat, Selangor, awal pagi tadi.
KUALA LANGAT: Empat sahabat maut apabila seorang rakan yang juga pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dinaiki mereka, mengantuk sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok dekat Kilometer 27.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, kemalangan kira-kira pukul 3.10 pagi itu mengorbankan pemandu iaitu P. P. Mahendran, 44, serta sahabatnya S. Gobhu, 43; B. Thivagar, 43 dan C. Sivanandan, 41 yang kesemuanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan asal mendapati empat mangsa dalam perjalanan pulang ke Banting selepas keluar minum di sekitar Dengkil.
“Setibanya di lokasi, kenderaan jenis Ford Ranger itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar pokok dipercayai akibat mengantuk.
“Pemandu dan tiga penumpang yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Banting,” katanya kepada pemberita.
Tambah Mohd. Akmalrizal, waris semua mangsa telah tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Taneswaran di talian 03-31872222 atau 012-6708561,” ujarnya
Terdahulu, bomba memaklumkan terdapat empat mangsa dengan seorang daripada mereka tercampak keluar, manakala tiga lagi tersepit dalam kenderaan tersebut.
Anggota bomba melakukan operasi bagi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit itu.


































