Pasukan bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit di dalam sebuah pacuan empat roda yang melanggar sebatang pokok dekat KM 27.7 Lebuhraya SKVE, Saujana Putra, Telok Panglima Garang, di Kuala Langat, Selangor, awal pagi tadi.
KUALA LANGAT: Empat maut selepas pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok dekat Kilometer 27.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dekat Saujana Putra, di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kesemua lelaki berusia 40-an dalam perjalanan ke arah Telok Panglima Garang.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.21 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda melanggar sebatang pokok. Terdapat empat mangsa lelaki berbangsa India, tiga daripadanya tersepit di dalam kenderaan dan seorang lagi tercampak keluar.
“Tiga mangsa tersepit berjaya dikeluarkan. Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut.
































