Hajiji (duduk, tengah) bersama penerima bantuan.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, kebajikan dan keperluan wanita tidak pernah diabaikan memandangkan mereka turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
“Kita menghargai peranan wanita dan kita tidak melupakan kebajikan mereka,” katanya.
Berucap semasa majlis penyerahan bantuan peralatan dapur kepada kira-kira 1,000 suri rumah di kawasan Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Lok Batik di sini hari ini, beliau berkata, kemakmuran rakyat termasuk menjaga kebajikan mereka adalah antara keutamaan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.12 Sulaman berkata, beliau yakin terhadap sokongan wanita, khususnya di Sulaman yang akan menjadi penentu kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri akan datang.
Hajiji berkata, beliau boleh mengharapkan sokongan kaum wanita dan dengan kerja keras mereka, beliau yakin GRS akan memperoleh kemenangan.
Hajiji turut mengecam pihak pembangkang yang mendakwa GRS adalah sebuah Kerajaan Negeri yang gagal.
“Apabila saya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, Sabah, seperti juga tempat lain di dunia, sedang berdepan dengan situasi suram akibat pandemik Covid-19, ditambah pula dengan landskap politik negara yang sangat tidak menentu pada ketika itu.
“Saya sendiri turut dijangkiti Covid-19. Selama dua bulan, saya tidak dapat bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan mahupun hadir ke pejabat. Namun, dalam waktu yang sukar itu dan dengan tekad, kami tampil dengan idea untuk meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Hala Tuju SMJ dirangka untuk memulihkan ekonomi negeri yang telah terjejas teruk akibat pandemik, tambahnya, dan selepas lebih empat tahun, pelan tersebut telah membuahkan hasil dengan pemulihan ekonomi Sabah.
Sejak itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, termasuk bantuan bulanan RM300 di bawah program SYUKUR untuk kira-kira 100,000 rakyat Sabah miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih selama setahun.
“Dari segi bantuan kebajikan, kita telah membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.33 bilion di bawah pembangunan modal insan,” katanya, sambil menambah bahawa Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan projek Rumah Mesra SMJ, yang menyediakan rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan di Sabah.
Hajiji berkata, dapat membantu rakyat adalah satu kepuasan besar bagi Kerajaan GRS dan, dengan sokongan rakyat, beliau yakin akan mempertahankan kerusi Sulaman dalam pilihan raya negeri nanti.


































