SARA sebanyak RM100 secara sekali beri melalui MyKad mula disalurkan hari ini dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga seluruh negara.
PETALING JAYA: Kementerian Kewangan bersama MyKasih memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kelmarin.
Menurut kenyataan bersama, sistem terminal MyKasih mengalami kelewatan pemprosesan transaksi disebabkan lonjakan tinggi jumlah pembelian pada hari pertama penyaluran Penghargaan SARA.
“Pembelian masih boleh dilakukan, namun sebahagian premis runcit mungkin menghadapi kesukaran untuk memproses transaksi akibat permintaan sistem yang terlalu tinggi,” katanya.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan teknikal MyKasih sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan dan menjangkakan sistem akan kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi para pengguna dan menghargai kesabaran mereka,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 kelmarin.


































