KENINGAU: Seramai 226 peserta menyertai Apin-Apin Slingshot Championship 2025, iaitu pertandingan melastik terbuka Sabah yang berlangsung di Bangunan Tamu Apin-Apin baru-baru ini.
Kejohanan ini dianjurkan buat julung kalinya oleh Apin-Apin Slingshot Community (AASC) yang dipengerusikan oleh Brien Francis.
Penganjuran edisi pertama itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan dari pelbagai daerah termasuk Keningau, Sook, Tenom, Membakut, Papar, Tuaran, Ranau serta Labuan.
Hadiah-hadiah pertandingan ditaja oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert .
Rafie berkata, program seumpama ini bukan sahaja menyediakan ruang aktiviti positif kepada belia, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan sukan (sport tourism) bagi daerah Keningau.
“Program seperti ini amat baik kerana dapat mengisi masa lapang belia dengan aktiviti bermanfaat, selain menarik penyertaan peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negeri. Saya melihat potensi besar sekiranya kejohanan ini dianjurkan secara konsisten kerana ia mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan daerah,” katanya.
Kejohanan Slingshot Apin-Apin 2025 bukan sahaja memperkenalkan semula sukan tradisi kepada generasi muda, malah menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat serta mengangkat Keningau sebagai destinasi baharu pelancongan berasaskan sukan.
































