KOTA KINABALU: Isu buli yang semakin membimbangkan masyarakat menuntut semua pihak, khususnya ibu bapa, untuk tampil sebagai contoh teladan terbaik kepada anak-anak.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Halizah Din berkata, kanak-kanak dan remaja tidak hanya belajar melalui arahan, sebaliknya lebih banyak meniru teladan yang ditunjukkan ibu bapa di rumah.
“Jika ibu bapa bersikap hormat, berhemah dan mampu mengawal emosi dengan baik, anak-anak cenderung meniru sikap positif itu dalam pergaulan harian.
“Pendidikan awal di rumah adalah benteng utama. Apabila ibu bapa bersikap tegas tetapi penuh kasih sayang, anak-anak akan memahami sempadan jelas antara betul dan salah. Ini secara langsung boleh mengekang kecenderungan untuk membuli atau menjadi mangsa buli,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Halizah menjelaskan, pelbagai cabaran sering dihadapi keluarga, antaranya tekanan hidup, kesibukan pekerjaan dan kekurangan masa berkualiti bersama anak, yang boleh menjejaskan pembentukan emosi mereka.
“Lebih membimbangkan, ada ibu bapa yang menganggap perbuatan buli sebagai perkara kecil atau sebahagian daripada proses membesar, sedangkan hakikatnya ia boleh memberi kesan trauma jangka panjang kepada mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, pengaruh rakan sebaya serta media sosial juga menjadi faktor kuat yang berpotensi menenggelamkan nilai baik yang diterapkan oleh ibu bapa.
Justeru, katanya, pendekatan seimbang iaitu tidak terlalu memanjakan dan tidak terlalu keras, amat penting untuk memastikan anak membesar dengan empati, disiplin dan rasa hormat terhadap orang lain.
“Usaha membendung budaya buli tidak boleh diletakkan di bahu pihak sekolah semata-mata. Peranan ibu bapa sebagai model teladan sangat penting.
“Jika di rumah anak melihat komunikasi penuh marah dan kekerasan, mereka akan membawa ‘bahasa kekerasan’ itu ke luar. Tetapi jika mereka melihat kasih sayang, hormat dan kawalan emosi, budaya itu pula yang akan dibawa ke sekolah dan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, sikap, teladan dan didikan ibu bapa adalah asas pembinaan generasi berakhlak. Oleh itu, keluarga wajar diberi sokongan sewajarnya agar budaya buli dapat dicegah sejak dari rumah.


































