PETALING JAYA: Sebanyak 55 kes direkodkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung penyimpanan minuman keras tidak bercukai di kediaman persendirian di seluruh negara sejak Januari hingga Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia. kesemua kes direkodkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.42 juta dengan anggaran cukai yang terlibat berjumlah RM4.02 juta.
JKDM menerusi kenyataam berkata, meski orang ramai dibenarkan menyimpan minuman keras di rumah bagi kegunaan persendirian tanpa perlu lesen namun ia perlu melalui pembelian sah dengan cukai sudah dijelaskan.
“Sekiranya orang awam membeli minuman keras yang sudah dibayar cukai dan melalui pembelian yang sah, tidak ada keperluan untuk menyimpan rekod. Keperluan untuk menyimpan rekod tujuh tahun adalah terpakai bagi orang berlesen atau pengimport dan pengeksport.
“Dalam konteks bilangan botol minuman keras yang dibenarkan untuk disimpan sebagai kegunaan persendirian, JKDM menegaskan bahawa tiada had bilangan minuman keras yang ditetapkan di bawah undang-undang tadbiran JKDM,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan seperti serbuan tidak dilakukan sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan maklumat risikan atau aduan awam yang memberikan sebab munasabah untuk mengesyaki berlakunya pelanggaran undang-undang.
“Terdapat penemuan kes di mana individu menyimpan stok minuman keras di rumah bagi tujuan perniagaan. Hasil siasatan yang dilakukan oleh JKDM telah mengesahkan bahawa duti atau cukai ke atas minuman keras berkenaan dibuktikan tidak dibayar,” jelasnya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut Akta Eksais 1976 dan Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, secara keseluruhan bagi tempoh sama, JKDM merekodkan sejumlah 599 kes rampasan minuman keras tidak berkastam, dengan nilai rampasan berjumlah RM24.29 juta dan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM62.62 juta.
































