Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Serangan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor disifatkan sebagai retorik politik murahan yang tidak mengubah fakta bahawa pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjaya membawa kestabilan politik serta mengembalikan keyakinan pelabur ke negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan Ahli Parlimen Libaran yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir kononnya Hajiji gagal mentadbir adalah tidak berasas dan hanya bermotifkan politik.
“Menyerang Hajiji dengan tohmahan tidak akan memadamkan fakta bahawa GRS telah membawa stabiliti politik, mengembalikan keyakinan pelabur dan membuka laluan kepada pembangunan ekonomi yang lebih mapan untuk masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nizam, rakyat Sabah masih ingat siapa yang sebenarnya gagal menjaga integriti ketika berkuasa, dan siapa pula yang hanya pandai menabur janji tetapi meninggalkan hutang serta masalah struktur tanpa penyelesaian.
Beliau menjelaskan, sejak pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 2021, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji telah memperuntukkan dana khusus bagi menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya luar bandar, projek empangan, sistem agihan air serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) bagi menstabilkan bekalan elektrik.
“Masalah legasi seperti jalan, air dan elektrik bukan boleh selesai dalam sekelip mata, tetapi usaha serta projek penambahbaikan telah berjalan secara konsisten,” katanya.
Berhubung dakwaan kadar pengangguran, Nizam menegaskan bahawa data rasmi membuktikan peluang pekerjaan di Sabah terus berkembang selaras dengan peningkatan pelaburan.
Antara tahun 2021 hingga 2024, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, pencapaian yang menurut beliau tidak pernah berlaku ketika pentadbiran terdahulu.
“Pelaburan ini memberi kesan langsung kepada penciptaan peluang kerja baharu, terutama dalam sektor minyak dan gas, pelancongan, pertanian hiliran serta industri teknologi,” ujarnya.
Mengulas dakwaan kononnya pentadbiran GRS terpalit dengan skandal lesen mineral, beliau menegaskan tuduhan itu sudah dijawab secara rasmi oleh Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur.
“Fakta jelas menunjukkan tiada sebarang lesen carigali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat. Malah, tindakan undang-undang telah diambil terhadap laporan palsu yang cuba menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Negeri,” katanya.
Nizam turut menolak gesaan Suhaimi agar Hajiji “berehat”, sambil menyifatkannya sebagai cubaan menutup pencapaian nyata Kerajaan Negeri.
“Realitinya, kepimpinan Hajiji telah berjaya meletakkan Sabah kembali pada landasan pembangunan melalui Hala Tuju SMJ, memacu pelaburan luar dan dalam negeri serta memperkukuh hasil negeri termasuk melalui penyertaan langsung Sabah dalam Petronas,” katanya.


































