Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi gig mencatat detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat selepas tujuh tahun proses penggubalan dilakukan.
Menurut Utusan Malaysia, RUU berkenaan yang memberi hak kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini untuk merundingkan gaji dan syarat kerja diluluskan melalui undian suara dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen pada hari terakhir persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.
RUU yang mengandungi 112 fasal, itu dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan diluluskan selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen mewakili blok kerajaan serta pembangkang.
RUU berkenaan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan isu pendapatan dan perlindungan keselamatan sosial.
Chee Keong turut mempersoalkan sikap pembangkang yang didakwa keliru serta gagal meletakkan kebajikan pekerja sebagai keutamaan ketika berhujah mengenai perincian akta berkenaan.
“Rompin (Datuk Abdul Khalib Abdullah) minta kita teliti mekanisme undang-undang pekerja gig di Sepanyol, tetapi Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) pula kata jangan tiru Sepanyol kerana bimbang pelabur lari.
“Ada juga yang seolah-olah membawa kebimbangan syarikat korporat, seakan-akan undang-undang ini perlu mengikut kehendak syarikat dahulu.
“Kita kena jelas, tujuan utama RUU ini adalah membela pekerja gig di samping mengekalkan daya saing ekonomi negara,” katanya.
Mengulas penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Chee Keong berkata, ia tidak bercanggah dengan RUU kerana kedua-duanya mempunyai peranan berbeza.
Katanya, RUU Pekerja Gig 2025 memberi perlindungan perburuhan kepada pekerja manakala kerajaan sudah memberi tugas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai jawatankuasa mengkaji penubuhan SEGiM.
“Saya yakin beliau (Ahmad Zahid) sebagai antara pejuang isu pekerja gig akan menetapkan terma, syarat serta bidang kuasa SEGiM yang tidak bercanggah dengan RUU ini.
“Tidak benar kalau ada pihak kata RUU ini tiada penguat kuasa. Kita ada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Tribunal Pekerja Gig dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai agensi pelaksana.
“Tdak wajar mengatakan ketiadaan SEGiM menyebabkan tiada pihak berkuasa. Kedua-dua perkara ini berbeza dan kerajaan kini dalam proses meneliti penubuhan SEGiM,” katanya.


































