Mohd. Khalid Ismail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pelbagai strategi dalam usaha mencegah dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan isu buli terutama di sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ia selari titah Yang di-Pertuan Agong yang menekankan pencegahan lebih kolektif dan proaktif susulan insiden buli sehingga menyebabkan kematian.
“Sehubungan itu, PDRM mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan usaha pencegahan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pelajar supaya tidak mengambil tindakan yang melampaui batas undang-undang mahupun kemanusiaan.
“PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan lebih berdedikasi dan efisien mendekati golongan terbabit secara inklusif bersama pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Cawangan Khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Ibrahim Darus.
Selain itu, beliau turut meminta pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) supaya cakna dan prihatin dengan persekitaran sekolah masing-masing.
Katanya, langkah itu akan mengesan elemen buli atau penderaan dengan lebih awal sekaligus dapat ditangani segera.
Media sebelum ini melaporkan kes membabitkan pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir merupakan yang pertama didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan membuli.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pelaksanaan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli.
Sejak pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.
Serentak dengan perkembangan undang-undang itu, Saifuddin Nasution berkata, kementeroam mahu polis bertindak pantas dalam menyiasat setiap laporan membabitkan perbuatan buli yang diterima.
































