James (dua dari kiri) ketika menyempurnakan gimik pemasangan papan tanda larangan merokok pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melancarkan Operasi Op Selamat (Ops Papa) bagi memperketat kawalan dan mencegah penyalahgunaan vape di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata operasi itudlaksanakan bukan bertujuan mengharamkan penggunaan vape sebaliknya, memastikan kawalan dan pencegahan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sebenarnya, operasi ini kita adakan untuk mengawal dan mencegah berkaitan dengan penggunaan vape yang mana di beberapa negeri di Semenanjung telah mengharamkan vape ini.
“Tetapi di Sabah, kita belum haramkan vape ini tetapi cuma kita kawal dan cegah kerana dia masih di bawah Akta 852 bersama dengan Akta Rokok di mana Akta Rokok ini mengawal dan mencegah.
“Kita juga mengawal, mencegah supaya jangan sampai vape ini digunakan oleh anak-anak sekolah kita terutama sekali murid-murid sekolah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian OP Selamat Paru-Paru (OPS PaPa) Peringkat Negeri Sabah, pada Rabu.
James menegaskan tumpuan awal operasi tersebut adalah di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu bagi memastikan premis menjual vape mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi ini juga kita tumpukan kepada kawasan-kawasan di Bandaraya Kota Kinabalu dulu dan bandar-bandar besar adakah mereka ini mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh KKM, apakah konten-konten yang mereka jual jangan sampai mereka menjual barang-barang ataupun konten-konten yang haram seperti masrum dan sebagainya.
“Kita minta juga supaya JKNS berkolabrasi dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya larang anak-anak mereka untuk menggunakan vape ini di kawasan sekolah kawasan mereka, tempat mereka belajar,” jelas beliau.
Menurut James, pemeriksaan akan dijalankan secara rawak di seluruh Sabah dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).Beliau turut mengingatkan semua peniaga vape agar memastikan perniagaan mereka beroperasi mengikut undang-undang dan mendaftar dengan KKM bagi mengelakkan tindakan tegas.
“Jadi kalau jual vape, kita tidak larang tetapi jual yang telah ditetapkan oleh KKM dan kalau boleh, saya minta kepada syarikat-syarikat vape yang ada di Kota Kinabalu ini supaya syarikat mereka itu mendaftar dengan KKM agar tidak diambil tindakan.
“Sekiranya mereka ini didapati melanggar Peraturan sudah pasti kita akan menyita dan akan memberi kompaun kepada syarikat-syarikat yang tidak mematuhi saranan daripada KKM,” ujar beliau.
Tambah James, Op Selamat Papa akan dijalankan secara berterusan sehingga ada keputusan rasmi pengharaman vape di peringkat negeri.


































