Peto (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama juruhebah dan pegawai RTM serta Japan.
KOTA KINABALU: Orang ramai diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan kemuncak Hari Sabah 2025 yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim, berkata sambutan itu bukan sahaja bertujuan memperingati tarikh bersejarah negeri tetapi juga sebagai manifestasi semangat perpaduan rakyat Sabah.
“Saya menyeru penduduk sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan untuk hadir lebih awal dengan semangat Sabah yang tinggi. Ini adalah hari kita, hari untuk kita raikan bersama sebagai rakyat Sabah.
“Orang ramai juga digalakkan mengenakan pakaian etnik sebagai simbol kebanggaan terhadap kepelbagaian budaya dan identiti negeri,” katanya ketika ditemui media dalam satu sesi temu bual di Sabah FM, pada Selasa.
Program kemuncak tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Peto turut memaklumkan bahawa pelbagai pengisian menarik akan diadakan pada malam sambutan antaranya pameran, pertunjukan bunga api, tamu makanan serta majlis penganugerahan kepada pejuang kemerdekaan.
Selain itu, katanya, Larian Merdeka yang dianjurkan sempena Hari Sabah turut dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih sebelum berakhir di Padang Merdeka pada malam sambutan.


































