Jeffrey (tengah) ketika bergambar kenangan bersama dalam program tersebut.
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah 2025 menjadi wadah penting untuk memperkenalkan identiti negeri serta memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2025 berkata sambutan itu bukan sekadar mengingati sejarah, sebaliknya membina identiti tersendiri bagi Sabah.
“Hari Sabah tidak akan diraikan hanya kerana sebab sejarahnya semata-mata, tetapi juga kerana pengertiannya serta bagaimana kita dapat meraikan Hari Sabah dengan lebih bermakna, lebih meluas, lebih mendalam dengan penyertaan daripada seluruh lapisan masyarakat,” katanya kepada media semasa Forum Perdana Hari Sabah 2025 di Dewan Serbaguna, Wisma Pertanian Sabah, pada Rabu.
Menurut Jeffrey penganjuran forum tersebut merupakan wadah penting dalam memperkukuh pengetahuan sejarah serta menyemai semangat cinta kepada negeri.
“Banyak perkara mungkin tidak sepenuhnya dimuatkan dalam sukatan pembelajaran di sekolah, dan melalui forum sebegini kita dapat memperluaskan lagi pengetahuan serta pemahaman mengenai perjalanan sejarah Sabah,” jelasnya.
Tambah beliau, Sambutan Hari Sabah tahun ini diangkat dengan tema “Untukmu Sabah, Tanah Airku” yang membawa maksud mendalam bahawa setiap usaha, perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan pada hari ini adalah demi tanah air tercinta, Sabah.
Jeffrey berharap forum seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana selain sebagai platform perkongsian ilmu, ia juga berperanan penting mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah Datuk Leonard Stephen Poyong.


































