Galah yang telah diubahsuai untuk memikat burung ditemui tersangkut pada kabel elektrik bervoltan tinggi di Kampung Bukit Tok Chom, Pendang.
PENDANG: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan arus elektrik ketika memikat burung di Kampung Bukit Tok Chom, di sini pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa, Sahrulnizam Ramli, 53, ditemukan orang awam dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur pada pukul 9.55 pagi.
“Pegawai Penyiasat yang tiba di lokasi kejadian melakukan siasatan ke atas tubuh mangsa dan mendapati terdapat kesan terbakar serta tiada sebarang tanda akibat perbuatan jenayah,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Kata Rodzi, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penemuan mayat itu menemui sebatang galah yang telah diubahsuai untuk memikat burung.
“Galah itu ditemui masih tersangkut di kabel elektrik bervoltan tinggi dan ketika kejadian mangsa dipercayai mahu meletakkan sangkar bagi memikat burung. Motosikal jenis Modenas Kriss miliknya turut ditemui tidak jauh dari kawasan kejadian,” katanya.
Tambah beliau, mangsa dilaporkan telah keluar rumah sejak pukul 8.30 pagi untuk memikat burung seorang diri.
“Mayat bapa kepada enam anak itu dibawa untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


































