Hajiji menyampaikan surat pelantikan kepada salah seorang Imam Daerah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan akidah, pembangunan serta kebajikan ummah.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri secara konsisten menyokong usaha membangunkan dan memperkukuh ajaran Islam yang dilaksanakan secara aktif oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta beberapa NGO seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Selain itu, katanya, selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan, agensi seperti MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Yayasan Sabah serta Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri bagi menyediakan peluang biasiswa kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang hampir sampai ke penghujung, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana besar untuk menaik taraf infrastruktur masjid dan surau di seluruh Sabah serta menyediakan pelbagai latihan dan pembangunan modal insan untuk para du’at, katanya.
“Insya-Allah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang, kita akan terus memperjuangkan agenda memperkasa dakwah dan memajukan pembangunan Islam mengikut keperluan serta tuntutan semasa.
“Ini termasuk transformasi dakwah digital seiring Revolusi Industri Keempat, penempatan pendakwah bersepadu di kawasan luar bandar dan kepulauan, serta program khas belia MADANI untuk melahirkan pendakwah muda yang berwibawa,” katanya.
Dalam hal ini, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berbesar hati menyerahkan surat pelantikan kepada Imam-Imam Daerah di seluruh Sabah yang dipilih daripada kalangan Imam Kariah.
“Sebagai insentif tambahan kepada kumpulan pemimpin agama ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui MUIS akan menaikkan elaun Imam Daerah sebanyak RM1,000 sebulan. Seramai 33 Imam Daerah akan menerima manfaat daripada kenaikan elaun tambahan ini,” katanya.
Ketua Menteri turut berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju menaikkan elaun bulanan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Imam Rawatib sebanyak RM200 masing-masing.
Bagi tujuan ini, katanya, Kerajaan Negeri akan membelanjakan hampir RM15 juta setahun untuk memberi manfaat kepada 2,480 guru KAFA dan 1,643 Imam Rawatib di Sabah.
Selain itu, seramai 394 guru Takmir turut akan menerima bayaran khas sekali gus berjumlah RM500 seorang.
“Diharapkan pada masa akan datang, seiring pertumbuhan pesat ekonomi Sabah dan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh, elaun anda semua akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa, insya-Allah!” katanya.


































