Masiung menyampaikan sijil kepada salah seorang jawatankuasa jentera GRS PDM Karamuak.
TONGOD: Empat parti utama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kuamut kini berada pada fasa persiapan terakhir bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR) dan United Sabah National Organisation (Usno) telah menggerakkan sepenuhnya jentera masing-masing untuk mempertahankan kekuatan dominan GRS di kawasan itu.
Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, gabungan itu melengkapkan barisan jentera selepas menghadiri taklimat ejen pusat mengundi dan ejen pengiraan undi di Dewan Simpang Entilibon, semalam.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan, GRS yang dipayungi Gagasan Rakyat telah memulakan gerak kerja di seluruh kawasan Kuamut sejak tiga tahun lalu.
“Misi kita adalah mempertahankan kerusi GRS dan memperoleh majoriti lebih besar menjelang PRN-17,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Sekretariat Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali yang mengetuai delegasi pegawai latihan dan penceramah dari Kota Kinabalu.
Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, jawatankuasa bersama telah dibentuk di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan persiapan kempen berjalan dengan teratur.
Hadir sama Ketua Bahagian GRS Kuamut, Mandik Yadam (STAR), James Aik (Usno) dan Dusin Janis (PBS).
Seramai 300 ahli jentera utama GRS turut berikrar memberikan sokongan penuh kepada calon gabungan itu untuk mempertahankan kerusi Kuamut.


































