Siti Amiza Baharuddin atau dikenali sebagai “Miza Ozawa” hadir Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang di sini, hari ini atas tuduhan menjual kandungan lucah melalui aplikasi Twitter.
SEPANG: Seorang pembantu kedai pakaian didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi video lucah menerusi perkhidmatan aplikasi Twitter, tiga tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Siti Amiza Baharuddin, 28, selepas wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan ibu kepada seorang anak itu menjalani hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Fuad menasihati Siti Amiza supaya insaf dengan perbuatan dilakukannya dan menjadikan ia sebagai satu pengajaran.
“Orang Kena Saman melakukan komunikasi untuk tujuan komersil, namun cara kamu buat sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita. Jadi undang-undang dirangka sebegitu rupa supaya memelihara moral masyarakat kita dan supaya jangan ada komunikasi seperti ini,” katanya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Siti Amiza secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter menerusi akaun ‘MizaNegro’ masing-masing pukul 10.13 malam, pada 18 Disember 2022 dan pukul 7.47 malam, 13 September 2022.
Hantaran itu kemudiannya dilihat kira-kira pukul 4.34 petang dan pukul 10.08 pagi di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tower 1, Cyberjaya pada 19 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC, Nadzirah Idris manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A. Bakar.
Terdahulu, Ahmad Hafiz merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda yang minimum dengan alasan pengakuan bersalah oleh tertuduh wajar diberi pertimbangan, serta pertuduhan yang dihadapinya telah mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental tertuduh.
Bagaimanapun, Fadhli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Hakim Ahmad Fuad kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara enam bulan jika gagal bayar denda, serta memerintahkan agar barang kes iaitu komputer riba dan telefon bimbit diserahkan kepada MCMC untuk dilupuskan.
Sebelum ini pada 24 Jun 2024, Siti Amiza pernah dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama ‘Miza Ozawa’.


































