BEIJING: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala empat lagi hilang selepas sebahagian jambatan dalam pembinaan di barat laut China runtuh dalam kejadian yang berlaku semalam, menurut laporan media kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, rakaman video yang disiarkan oleh penyiar rasmi CCTV menunjukkan struktur tengah jambatan secara tiba-tiba runtuh, lalu menjunam ke dalam Sungai Kuning yang terletak di bawahnya.
Agensi berita Xinhua melaporkan, punca utama insiden dipercayai berpunca daripada kegagalan struktur kabel keluli pada jambatan berkenaan.
Akhbar People’s Daily melaporkan bahawa 16 individu, termasuk 15 pekerja pembinaan dan seorang pengurus projek berada di tapak kerja ketika kejadian berlaku.
“Seramai 12 orang disahkan meninggal dunia dan empat lagi masih hilang,” lapor CCTV, memetik kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada Laluan Kereta Api Sichuan-Qinghai, dan menurut People’s Daily, ia adalah jambatan lengkung kekuda keluli berkembar dua landasan terbesar di dunia. Ia juga merupakan jambatan gerbang kekuda keluli kereta api pertama di China yang dibina merentasi Sungai Kuning, sungai kedua terpanjang di negara itu.
Imej yang dikongsikan oleh media rasmi menunjukkan jambatan tersebut masih dalam proses pembinaan, dengan bahagian tengahnya hilang, sementara dua menara perancah gergasi dan beberapa jentera kren kelihatan berada di tapak kejadian.
Xinhua turut melaporkan bahawa ratusan anggota penyelamat telah dikerahkan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat yang masih diteruskan.
Insiden ini menambah kepada siri tragedi berkaitan pembinaan di China yang sering dikaitkan dengan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang longgar. Pada Disember tahun lalu, seramai 13 pekerja hilang apabila berlaku runtuhan di tapak pembinaan landasan kereta api utama di Shenzhen, selatan China tanpa laporan mengenai mangsa yang terselamat.


































