JAKARTA: Indonesia satu daripada negara paling terjejas akibat pencemaran plastik, akan mewajibkan pengeluar melaksanakan kitar semula dalam usaha baharu kerajaan menangani krisis tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu diumumkan selepas negara berkenaan mengenakan larangan terhadap penghantaran sisa plastik dari negara maju.
Indonesia menghasilkan kira-kira 60 juta tan sisa setiap tahun, dengan sekitar 12 peratus daripadanya adalah plastik, menurut data kerajaan.
Kurang daripada 10 peratus sisa dikitar semula di negara itu, manakala lebih separuh berakhir di tapak pelupusan sampah.
Kajian Universiti Cornell tahun lalu turut mendedahkan, rakyat Indonesia merupakan pengguna mikroplastik terbesar di dunia, dengan purata pengambilan zarah plastik mencecah 15 gram sebulan.
“Plastik memberi kesan buruk kepada alam sekitar, khususnya plastik sekali guna. Ia menimbulkan pelbagai masalah dan mengandungi bahan toksik berbahaya,” kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq pada sidang media awal minggu ini.
Pengumuman itu dibuat selepas Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, gagal mencapai persetujuan untuk menghasilkan perjanjian pertama dunia yang mengikat secara sah bagi menangani pencemaran plastik.
Menurut Hanif, kerajaan akan memperkenalkan kewajiban melalui konsep Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR), yang ketika ini masih bersifat sukarela.
“EPR akan diwajibkan, bulan lagi pilihan,” katanya.
Peraturan EPR sebenarnya sudah diperkenalkan menerusia Peraturan Menteri pada 2019, yang mewajibkan pengeluar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sisa plastik dihasilkan daripada produk mereka.
Namun, mekanisme itu mendorong pengeluar untuk mereka bentuk produk dan pembungkusan yang mesra alam, kata juru kempen bandar di Greenpeace Asia Tenggara, Muharram Atha Rasyadi.


































