Vitomir Maričić mencatat rekod selaman paling lama di kolam mandi Hotel Bristol, Opatija.
OPATIJA: Seorang penyelam bebas dari Croatia berjaya menahan nafas selama 29 minit 3 saat di dalam air, sekali gus memecahkan rekod dunia Guinness.
Menurut Utusan Malaysia, Vitomir Maričić, 36, melakukan aksi berani itu di sebuah kolam sedalam tiga meter di Hotel Bristol, Opatija, pada 14 Jun lalu, disaksikan lima juri rasmi dan kira-kira 100 penonton.
Kejayaan tersebut memadam rekod lama yang dipegang rakan senegaranya, Budimir Šobat, iaitu 24 minit 37 saat, selain mengatasi rekod selebriti terkenal, David Blaine, yang pernah menahan nafas selama 17 minit 4 saat.
Menurut laporan, pencapaian Maričić itu juga dua kali ganda lebih lama daripada tempoh selaman terpanjang lumba-lumba bottlenose, malah setara dengan keupayaan anjing laut pelabuhan.
Untuk mencapai tahap menakjubkan itu, Maričić menjalani teknik denitrogenasi, iaitu proses bernafas menggunakan oksigen tulen selama 10 minit bagi membuang nitrogen berlebihan dalam darah dan meningkatkan kandungan oksigen sehingga lima kali ganda daripada paras normal.
“Ini bukan soal berapa banyak yang anda sedut, tetapi berapa sedikit yang anda perlukan. Tiada panik, tiada fikiran, hanya keheningan. Itulah caranya untuk sampai ke 29,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Walaupun bantuan oksigen tulen memberi kelebihan besar, pakar menjelaskan tempoh ‘apnea selamat’ kebanyakan individu hanya sekitar lapan minit.
Keupayaan Maričić menahan nafas hampir setengah jam dianggap di luar kemampuan manusia biasa, selain menuntut kawalan mental yang luar biasa serta teknik melambatkan penggunaan oksigen dalam tubuh.
Dia bagaimanapun memberi amaran supaya orang awam tidak mencuba aksi itu tanpa latihan dan pemantauan profesional kerana risiko ketoksikan oksigen (O2 toxicity) dan ketoksikan karbon dioksida (CO2 toxicity) yang boleh membawa maut.


































