PARIS: Satu kajian terbaharu mendedahkan jangkitan Covid-19, walaupun pada tahap ringan boleh menyebabkan saluran darah seseorang menua sehingga lima tahun lebih awal, sekali gus meningkatkan risiko jangka panjang terhadap penyakit jantung, strok dan demensia.
Menurut Utusan Malaysia, keadaan ini dikenali secara perubatan sebagai penuaan vaskular, di mana saluran darah yang menghantar oksigen penting ke organ menjadi lebih keras dan kaku iaitu suatu proses yang biasanya berlaku seiring usia.
Namun, kajian melibatkan 2,390 individu dari 16 negara ini mendapati virus Covid-19 mempercepatkan proses tersebut.
Lebih membimbangkan, kesan ini didapati lebih ketara dalam kalangan wanita, menurut penyelidik dari Perancis dalam penemuan yang diterbitkan dalam European Heart Journal.
Kajian-kajian terdahulu turut mengaitkan penuaan vaskular dengan peningkatan risiko menghidap penyakit demensia, iaitu penyakit yang menjejaskan daya ingatan.
Kajian terbaharu ini turut mendapati individu yang menerima vaksin Covid-19 secara umumnya memiliki saluran darah yang kurang kaku berbanding mereka yang tidak divaksin.
Lebih menarik, bagi kumpulan yang divaksin, keadaan penuaan vaskular dilihat menstabilkan atau sedikit bertambah baik dalam jangka panjang.
Menurut penulis utama kajian, Profesor Rosa Maria Bruno dari Université Paris Cité, Covid-19 boleh memberi kesan secara langsung kepada saluran darah.
“Kami percaya ini berlaku akibat daripada penuaan vaskular iaitu apabila saluran darah lebih tua daripada usia sebenar, menjadikan anda lebih mudah terdedah kepada penyakit jantung.
“Jika ini benar, kita perlu kenal pasti siapa yang berisiko seawal mungkin untuk mencegah serangan jantung dan strok,” katanya lagi.
Dalam kajian ini, para penyelidik menilai usia vaskular menggunakan alat yang mengukur kelajuan gelombang tekanan darah (PWV).
Alat ini mengukur sejauh mana kelajuan aliran darah dari leher ke kaki dan semakin tinggi bacaan tersebut, semakin kaku saluran darah dan semakin tua usia vaskular individu.


































