Mas Ermieyati Samsudin
KUALA LUMPUR: Pelaburan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dalam FashionValet tetap gagal meskipun telah melalui proses penelitian susulan strategi omnichannelberisiko tinggi, kejutan pasaran global akibat Covid-19 serta perubahan tingkah laku pengguna selepas pandemik.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Khazanah juga tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan analisis bedah siasat ke atas pelaburan yang dilupuskan dan merekodkan kerugian melebihi paras material.
Katanya, perkara itu antara lima penemuan utama yang digariskan dalam laporan PAC mengenai pelaburan domestik Khazanah di bawah Kementerian Kewangan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, penemuan lain mendapati Khazanah mempunyai proses tadbir urus dalaman berlapis bagi penapisan serta kelulusan pelaburan.
“Pemantauan oleh Kementerian Kewangan pula didapati bersifat strategik dan tidak mencampuri urusan operasi harian syarikat selari dengan amalan tadbir urus baik.
“PAC juga mendapati terdapat ketidakselarasan antara mandat Khazanah untuk menjana pulangan komersial yang memerlukan pendedahan lebih luas kepada pasaran global dengan peranannya sebagai instrumen pembangunan negara yang tertakluk kepada keutamaan digerakkan kerajaan.
“Pada masa sama, strategi pelaburan modal teroka (VC) Khazanah menerusi pendekatan Fund-of-Funds adalah sesuai untuk mencapai objektif menggalakkan ekosistem inovasi domestik, meskipun secara asasnya berisiko tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini.
Mas Ermieyati berkata, prosiding PAC dijalankan bagi meneliti strategi pelaburan domestik Khazanah, tadbir urus serta peranan Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham utama dalam memastikan pelaburan selaras dengan mandat Khazanah serta kepentingan negara.
Katanya, prosiding itu dimulakan berikutan kerugian dialami hasil pelaburan Khazanah dalam FashionValet yang menimbulkan kebimbangan mengenai tadbir urus serta pengurusan pelaburan domestik syarikat berkenaan.
Pada 20 Februari lalu, PAC telah memanggil Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir; Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan.
Berhubung penemuan tersebut, PAC mengemukakan empat syor agar Khazanah secara proaktif mendidik masyarakat mengenai strategi serta peluang pelaburan VC khususnya sifat berisiko tinggi model tersebut.
“Laporan tahunan, siaran media dan platform komunikasi lain wajar digunakan untuk menjelaskan rasional di sebalik pendekatan portfolio syarikat serta menetapkan jangkaan yang realistik, memandangkan kegagalan pelaburan adalah sebahagian daripada strategi berasaskan inovasi.
“Khazanah juga perlu membangunkan SOP khusus untuk analisis bedah siasat terhadap semua pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian material. Laporan ini hendaklah merangkumi punca kegagalan, kelemahan proses (jika ada) serta langkah penambahbaikan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga serta Lembaga Pengarah bagi memastikan akauntabiliti dan pembelajaran institusi,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, Khazanah juga perlu memperkukuh rangka kerja pengurusan risiko dengan memasukkan analisis senario lebih menyeluruh bagi kejutan pasaran bukan kewangan seperti perubahan teknologi yang mendadak, pandemik, geopolitik serta perubahan sentimen sosial.
“Langkah ini akan membolehkan penstrukturan semula atau pelupusan dilaksanakan dengan lebih tangkas sekiranya asas pelaburan berubah secara drastik.
“Selain itu, laporan suku tahunan Khazanah kepada Kementerian Kewangan juga perlu melangkaui ukuran kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi penilaian menyeluruh terhadap prestasi keseluruhan pelaburan,” katanya.
































