KUALA LUMPUR: Pemilikan harta, kenderaan mewah serta pendapatan bulanan antara kriteria yang bakal diambil kira dalam menentukan kelayakan rakyat menerima subsidi petrol RON 95 di bawah pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan berkata, penilaian akan dibuat menggunakan pelbagai sumber data termasuk rekod pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta hasil Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Langkah ini bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan benar-benar memerlukan. Selain pendapatan, pemilikan aset seperti harta dan kenderaan mewah turut dipertimbangkan.
“Keputusan muktamad akan diumumkan pada akhir September,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai bila rasionalisasi subsidi RON 95 akan dilaksanakan serta mekanisme pelaksanaannya.
Kementerian juga memberi jaminan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung dengan langkah itu, manakala bukan warganegara serta golongan benar-benar berada akan dikecualikan daripada menerima manfaat tersebut.
Katanya, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON 95 pada separuh kedua tahun 2025.
































