Siti Hajar Alfah Sharuddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Sepang, Selangor atas pertuduhan menyebarkan maklumat tidak sah berkait dengan kematian Zara Qairina Mahathir.
SEPANG: Seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebarkan maklumat tidak sah berkait dengan kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, mengikut pertuduhan, Siti Hajar Alfah Sharuddin, 39, didakwa membuat kenyataan tersebut di akaun TikTok miliknya, SHA_Abrienda yang kemudiannya telah ditonton dan didengar oleh seorang anggota polis kira-kira pukul 1.20 tengah hari, 6 Ogos 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Zara Qairina iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pukul 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Kes kematian Allahyarham mencetuskan perhatian umum apabila pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Namun, tular di media sosial dakwaan kononnya mangsa maut selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh.































