Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak bahawa terdapat elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual yang ditemui dalam siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam kertas siasatan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pagi tadi, polis telah mencadangkan hala tuju siasatan terhadap kes tersebut.
Katanya, selepas membaca kertas siasatan itu, beliau mengesahkan bahawa terdapat elemen buli dalam kes tersebut.
“Ya ada elemen buli, jelas sebab itu pihak kita juga (berpendapat) sama, tak boleh ada usaha atau cubaan untuk menutup (kes) kalau ada elemen buli sebab sekolah sepatutnya jadi tempat selamat untuk anak-anak.
“Ada elemen pengabaian kerana adik Zara ada membuat aduan kepada pihak sekolah. Ada, kita siasat. Ada juga elemen gangguan seksual, kita siasat juga.
“Demikian banyak (elemen) terpulang kepada Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
































