PETALING JAYA: Siasatan polis tidak menolak kemungkinan pelaku menyebabkan kematian seorang pelajar kolej berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah di USJ 2/1, Subang Jaya pada Khamis lalu adalah berkemungkinan individu dikenali.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan keterangan 12 individu telah diambil bagi membantu siasatan ini.
“Siasatan akan dilakukan menyeluruh termasuk mengenal pasti motif kejadian ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan kematian seorang pelajar kolej berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah pada Khamis lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Wan Azlan memaklumkan, satu panggilan diterima daripada seorang lelaki kira-kira pukul 11.55 pagi berhubung kejadian.
Katanya, pengadu memaklumkan menemukan anak perempuannya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan.
Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling tulang hyoid (tulang leher) akibat kecederaan otot dan tulang kesan daripada ‘manual strangulation’ (cekikan menggunakan tangan).
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
































