PETALING JAYA: Beberapa lagi individu termasuk seorang Datuk Seri ditahan bagi membantu siasatan skim penipuan pelaburan melibatkan MBI International Group (MBI) menerusi Op Northern Star baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, penahanan itu disahkan oleh Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali ketika dihubungi.
Beliau berkata, butiran mengenai hasil Op Northern Star terbabit akan dikongsikan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dalam masa terdekat.
Pada 30 Mei lalu, Muhammed Hasbullah memaklumkan jumlah tangkapan membabitkan kes penipuan pelaburan MBI adalah seramai 17 individu dengan keseluruhan aset yang dibekukan dan disita sejumlah RM3.81 bilion.
Katanya, tangkapan tersebut melibatkan usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star.
Untuk rekod, MBI diasaskan oleh ahli perniagaan Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat.
MBI, pengendali platform saham elektroknik besar disiasat pelbagai pihak berkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.
Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Tedy Teow selepas visanya dibatalkan selepas didakwa mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan urus niaga ‘multilevel marketing’.
Polis China telah memohon penangkapan Tedy Teow dengan mengeluarkan Notis Merah melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL) pada 9 November 2020.
Dia didakwa menipu hingga dua juta orang, dengan ramai warga China menjadi mangsa skim penipuannya.
Pada 20 Ogos 2024, Tedy Teow telah diekstradisi ke China untuk berdepan pertuduhan berkaitan penipuan.
Dia dihantar ke nagara berkenaan. dari Penjara Tahanan Bangkok ke China dengan menaiki pesawat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
































