Hajiji melakukan gimik pelancaran Pesta Labuk Tahun 2025 di Tapak Tamu FAMA Pekan Beluran hari ini.
BELURAN: Pesta Labuk Beluran 2025 yang julung kali dianjurkan di sini diangkat sebagai platform penting untuk memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran acara ini membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri memartabatkan seni, budaya dan identiti tempatan.
“Pesta ini bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya masyarakat setempat, malah menjadi wadah memupuk semangat kebersamaan.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan wajar dicontohi demi memastikan warisan ini terus kekal untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Pesta Labuk Beluran 2025 di Tapak Tamu FAMA, Pekan Beluran hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meraikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan negeri dan bukannya perbezaan yang memecahbelahkan rakyat.
Bersempena pesta itu, beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah di Jeti Muara, Beluran, sebagai kesinambungan projek rintis di Tuaran pada Julai lalu.
Katanya, projek seluas 1,300 hektar itu akan melibatkan 650 Ketua Isi Rumah (KIR) mengusahakan ternakan kerang darah secara berkelompok dan sistematik.
Ia dijangka menghasilkan 3,240 metrik tan setahun bernilai pasaran sekitar RM34.4 juta dengan potensi pulangan pelaburan sehingga tujuh kali ganda.
“Pembangunan industri kerang darah ini berasaskan komuniti, menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan pada masa sama melindungi habitat marin. Beluran bakal menjadi penanda aras akuakultur mampan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menghargai kerjasama strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (DOFS) dalam merealisasikan projek berkenaan.

Hajiji diiringi oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri yang juga ADUN N.49 Labuk,
Datuk Samad Jambri @ Jamri menyempurnakan penyerahan geran-geran tanah daerah Beluran (N.49 Labuk).
Dalam majlis sama, Hajiji menyerahkan 180 geran tanah adat negeri (Native Title (NT)) kepada penduduk kampung membabitkan Mukim Kolapis, Pulau Klagan dan Sapi, meliputi keluasan keseluruhan 297.830 hektar (735.937 ekar).
Beliau berkata, pemberian geran itu membuktikan komitmen Kerajaan untuk
memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, menikmati kesejahteraan dan jaminan hak milik tanah.
Hajiji mencadangkan agar Pesta Labuk Beluran dimasukkan ke dalam kalendar
pelancongan negeri supaya ia dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Keunikan seperti muzik tradisi Titik Tungkil, tarian Magalai Labuk dan pakaian tradisi Sabung Labuk adalah khazanah sejarah yang perlu dipelihara dan dipromosi secara berterusan,” katanya.
Hajiji juga mengumumkan kelulusan untuk membina jeti pelancongan dan jalan raya
menghubungkan Kampung Air Beluran, di sini seperti diminta Samad.
Selain itu, Ketua Menteri turut meminta Yayasan Sabah meneliti permohonan
penduduk di kawasan ini mengenai tanah milik yayasan itu yang sudah diduduki berpuluh tahun, dapat diberi kepada penduduk kampung.
“Mereka mahu tanah yang diduduki sekian lama, berpuluh tahun, ada termasuk dalam kawasan Yayasan Sabah, jadi saya minta Yayasan Sabah meneliti perkara ini dan
kalau boleh kita bagi kepada orang kampung sebagai rizab kampung.
“Kita adalah Kerajaan yang prihatin, yang ingin melihat bahawa hidup rakyat kita terjamin, kedudukan mereka di kampung-kampung sama ada masuk di tanah kerajaan atau sebagai setinggan perlu kita selesaikan,” katanya.
Katanya, kedudukan penduduk yang sudah lama menduduki tanah kerajaan sebagai
setinggan perlu dilihat dan difikirkan oleh Kerajaan atau Yayasan Sabah dengan
mengagihkan sebahagian tanah sebagai rizab kampung yang sah.
































